PUTRAJAYA – Tindakan pantas pihak berkuasa menerusi operasi bersepadu yang dilakukan berjaya menyelesaikan kes pencemaran Sungai Selangor dalam tempoh kurang 24 jam.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, operasi bersepadu itu telah berjaya mengenal pasti punca pencemaran bau yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang terpaksa dihenti tugas semalam.
Beliau berkata, operasi tersebut melibatkan anggota– anggota daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Air Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.
Pada masa sama, beliau berkata, pihak Air Selangor juga memaklumkan bahawa kesemua LRA telah beroperasi semula pada pukul 2.40 pagi, secara berperingkat setelah bacaan 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan.
“Sebuah premis tidak berlesen di Taman Velox Rawang didapati telah membuat pelepasan haram dengan mengalirkan buangan berpigmen yang disyaki sebagai buangan terjadual (BT) dalam sistem pembetungan IWK melalui melalui lubang tandas dan inspection chamber yang terdapat di dalam premis berkenaan.
“Penemuan awal mendapati bau bahan yang ditemui adalah sama seperti bau di Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) dan LRA. Kesemua sampel telah diambil oleh JAS dan akan dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, premis tersebut telah disita oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pihak Polis Diraja Malaysia berjaya menahan empat orang suspek termasuk seorang penyewa premis terbabit.
Beliau berkata, pengurusan buangan terjadual perlu diberi perhatian yang serius bagi mematuhi undang-undang dan garis panduan sedia ada.
“Buangan ini hendaklah dikitar semula atau dilupuskan di premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja kerana buangan terjadual yang mempunyai ciri-ciri berbahaya boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia serta pencemaran air, udara dan tanah,” katanya.
Pada masa sama, katanya, pihak industri atau mana-mana orang adalah dilarang sama sekali untuk melupuskan buangan terjadual secara haram.
Katanya, kementerian ingin mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati menjadi penyebab kepada pencemaran air sungai.
“Individu yang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 25 (Sekatan Mengenai Pencemaran Perairan Daratan), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – K! ONLINE