KUALA LUMPUR – Sebanyak RM149 juta telah dibelanjakan kerajaan bagi membayar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada pekebun getah di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini menunjukkan kerajaan amat prihatin berkaitan isu ketidakstabilan harga getah yang memberikan kesan kepada pendapatan golongan penoreh yang bergantung kepada permintaan dan penawaran pasaran di peringkat global.
“Harga getah rendah pada awal dan pertengahan tahun ini disebabkan oleh kelembapan ekonomi dunia, permintaan yang rendah dari negara-negara pengguna utama getah asli berikutan ketegangan perdagangan China dan Amerika Syarikat dan penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
“Kerajaan terus komited untuk memelihara kebajikan golongan pekebun kecil getah dengan melaksanakan langkah-langkah seperti pertama mempergiat hebahan dan kesedaran kepada pekebun kecil supaya memohon Insentif Pengeluaran Getah (IPG),” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) yang meminta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan usaha Kementerian dalam mengatasi masalah pendapatan golongan penoreh getah yang berhadapan dengan isu harga komoditi itu yang tidak stabil kebelakangan ini. – K! ONLINE