SHAH ALAM – Empat buat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang yang dihenti tugas semalam telah beroperasi secara berperingkat awal pagi tadi.
Keempat-keempat LRA itu mula beroperasi pukul 2.40 pagi selepas bacaan 0 ton direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam kenyataan sebentar tadi memaklumkan empat buah loji itu telah selesai menjalankan aktiviti pencucian dan pengepaman di setiap bahagian dalam proses rawatan di LRA sehingga pukul 7 pagi ini.
Katanya, ini bagi memastikan kualiti air yang dibekalkan adalah bersih dan selamat mengikuti piawaian Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pengesahan kualiti telah dilakukan di setiap bahagian dalam proses rawatan air serta kolam-kolam imbangan dan telah disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.
“Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan sebelum air dapat diagihkan kepada para pengguna,” katanya.
Sehubungan itu, bekalan air dijangka akan mula diterima oleh pengguna pukul 3 petang ini secara berperingkat-peringkat mengikut kedudukan kawasan dalam sistem agihan bekalan air.
Ujar Air Selangor, bantuan bekalan air alternatif yang telah dilaksanakan akan diteruskan bagi membantu para pengguna yang terjejas.
“Ini termasuk menggerakkan sebanyak 111 lori tangki, menyediakan 14 pili awam dan membuka 17 pusat khidmat setempat serta mengagihkan air minum lima liter,” jelasnya.
Kosmo! hari ini melaporkan lebih enam juta penduduk di lebih enam juta penduduk Selangor dan Kuala Lumpur sekali lagi berdepan masalah gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat loji itu dihenti tugas.
Kesemua loji berkenaan terpaksa dihenti tugas bermula pukul 12.20 hingga 12.45 tengah hari semalam susulan pencema-
ran bau yang dikesan di Sungai Selangor.
Gangguan bekalan air kali ketiga dalam tempoh tiga bulan itu telah memberi kesan kepada lebih 1.1 juta akaun berdaftar dengan Air Selangor. – K!ONLINE