SHAH ALAM – Empat termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam insiden pencemaran terbaharu sehingga menyebabkan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA), semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kesemua suspek berusia 33 hingga 40 tahun itu diberkas di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya bermula dari tengah malam hingga awal pagi tadi.
Katanya, siasatan awal mendapati wanita berkenaan merupakan penama yang didaftarkan dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang menyewa sebuah premis di Jalan Velox, Rawang berkenaan.
Difahamkan premis itu merupakan stor bahan buangan.
“Dua suspek termasuk warga Bangladesh telah menumpang stok bahan-bahan kimia di premis sewaan tersebut.
“Kita mempercayai terdapat aktiviti-aktiviti membuang sisa-sisa kimia ke dalam satu lubang kumbahan di premis yang disyaki terus mengalir ke kawasan tercemar,’ katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Jelas beliau, permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dilakukan di Mahkamah Selayang pagi ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah premis dipercayai stor bahan buangan sisa industri disyaki menjadi punca pembuangan efluen secara tidak sah ke lurang kumbahan yang mencemarkan Loji Rawatan Kumbahan (LRK) IWK Taman Volex, Rawang dekat sini semalam.
Dalam serbuan pukul 10.45 malam itu, sisa dari premis tersebut didapati menghasilkan bau yang sama di kesan di LRK dan LRA Sungai Selangor Fasa 1 ( SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang.
Premis itu kemudiannya disita Majlis Perbandaran Selayang. – K! ONLINE