MILAN – Penyerang veteran AC Milan, Zlatan Ibrahimovic mendedahkan, dia tidak akan meneruskan tugas sebagai pemain utama mengambil sepakan penalti pasukan itu selepas gagal menyudahkannya ketika bertemu Hellas Verona pada aksi Serie A awal pagi semalam.
Ia adalah kali keempat Ibrahimovic, 39, gagal menyempurnakan sepakan penalti musim ini dan bersedia menyerahkan tugas itu kepada Franck Kessie selepas ini.
Begitupun, bekas kapten Sweden itu masih berjaya menyelamatkan maruah pasukan itu apabila meledak gol penyamaan pada hujung perlawanan bagi membolehkan Milan mencatat keputusan seri 2-2 dengan Verona pada aksi di Stadium Siro tersebut.
“Saya sangat marah kerana keputusan seri hari ini masih belum memadai buat Milan. Kami memperoleh banyak peluang termasuk kegagalan saya menyempurnakan sepakan penalti.
“Lebih baik Kessie yang mengambilnya jika kami mendapat sepakan penalti lagi untuk perlawanan seterusnya nanti.
“Namun, keyakinan kami masih belum hilang walaupun melepaskan dua gol kepada pasukan lawan. Berdasarkan kedudukan liga sekarang, sudah tentu kami mahu menang dalam setiap perlawanan musim ini,” kata Ibrahimovic.
Verona berjaya meraih dua gol dalam babak pertama menerusi Antonin Barak dan Mattia Zaccagni sebelum Milan menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua melalui jaringan sendiri Giangiacomo Magnani serta Ibrahimovic.
Keputusan itu menyaksikan Milan masih berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dan kekal menerajui carta Serie A dengan kelebihan dua mata ke atas pasukan di tempat kedua, Sassuolo. – AGENSI