fbpx

Wanita Orang Asli alami komplikasi kandungan anak ke-10 dibawa naik helikopter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kuwei Awi yang sarat mengandung anak ke-10 dibawa ke Hospital Gua Musang dengan menaiki helikopter hari ini.

GUA MUSANG – Seorang wanita Orang Asli yang sarat mengandung anak ke-10 dari Kampung Lalok, Pos Bihai di sini dibawa menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menerima rawatan di Hospital Gua Musang, hari ini.

Kuwei Awi, 35, dilaporkan mengalami komplikasi kandungan apabila bayi yang dikandung dipercayai berada dalam kedudukan songsang.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, akibat komplikasi itu, wanita Orang Asli itu berada dalam keadaan lemah dan lesu.

Katanya, penerbangan telah dilakukan oleh anggota JBPM Bertam, Pulau Pinang pada pukul 9.15 pagi dan tiba di Balai Bomba Dan Penyelamat Gua Musang pada kira-kira 55 minit kemudian untuk mengambil dua jururawat dari Hospital Gua Musang.

“Kemudiannya, seramai empat anggota terus melakukan penerbangan ke Pos Bihai yang memakan masa 15 minit untuk mengambil pesakit.

“Helikopter yang membawa pesakit berjaya mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 11.10 pagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Mohd. Farhan, sepanjang operasi keadaan pesakit berjaya dipantau.

Katanya, wanita itu diiringi dua jururawat dibawa menaiki kenderaan kecemasan bomba untuk ke hospital.

“Masalah perhubungan jalan darat dan jarak penempatan jauh untuk ke bandar Gua Musang menyebabkan ahli keluarga tidak dapat menghantar wanita Orang Asli itu untuk mendapatkan rawatan di hospital lebih awal.

“Unit Udara JBPM sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di kawasan pedalaman,” katanya.

Tambannya, sejak bulan Januari lalu, lebih 50 penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) dilaksanakan bagi membantu Orang Asli di Gua Musang. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI