fbpx

Sultan Perak perkenan Maipk tetapkan SOP solat Jumaat dan fardu ikut zon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) untuk melaksanakan garis panduan solat Jumaat dan fardu di seluruh masjid serta surau di negeri Perak dilaksanakan mengikut zon.

Ketua Pegawai Eksekutif Maipk, Shahrulazam Shaari berkata, ketetapan itu dibuat selepas baginda menimbang sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, bagi zon merah, solat Jumaat ditangguhkan dan digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing manakala solat berjemaah pada setiap solat fardu hanya boleh dilaksanakan oleh enam orang jemaah yang terdiri dari kalangan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah.

“Laungan azan solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa di setiap zon dan pengumuman selepas azan hendaklah dibuat untuk memaklumkan ahli kariah mendirikan solat berjemaah bersama ahli keluarga masing-masing di rumah.

“Semua aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah pengajian antara Maghrib dan Isyak serta selepas solat Subuh, tahlil doa selamat dan sebagainya bagi zon merah ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahrulazam berkata, bagi zon kuning pula, solat Jumaat boleh dilaksanakan dengan had seramai 23 orang ahli Jumaat yang terdiri dari kalangan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah.

Katanya, jemaah yang lain hendaklah menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah masing-masing, begitu juga dengan solat fatdu berjemaah, hanya boleh dilaksanakan oleh 23 orang jemaah yang terdiri dari kalangan pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah.

“Bagi zon hjau pula, solat Jumaat boleh dilaksanakan dengan had seramai 40 orang ahli Jumaat yang terdiri dari kalangan pegawai masjid, ahli jawatankuasa kariah dan ahli kariah. Jemaah lain boleh menggantikannya dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

“Penganjuran kuliah pengajian antara solat Maghrib dan solat Isyak serta selepas solat Subuh dibenarkan di zon kuning dan hijau pada skala kecil,” katanya.

Beliau berkata, ahli jawatankuasa kariah atau pegawai masjid juga hendaklah memberikan peringatan dan penerangan ringkas kepada jemaah untuk mematuhi garis panduan sebelum solat Jumaat dan solat fardu.

Katanya, buat masa ini hanya warganegara Malaysia dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau dengan identiti jemaah yang datang hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat mengikut prosedur ditetapkan KKM dan MKN.

“Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) akan mengemaskini status zon di negeri Perak dari semasa ke semasa berdasarkan ketetapan MKN dan KKM.

“Jaipk juga akan mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri Perak untuk menyelia dan memastikan garis panduan tersebut dipatuhi” katanya.

Katanya, semua arahan dan ketetapan hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga arahan baharu dikeluarkan MAIPk. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI