ALOR GAJAH – Mahu membeli-belah di Tangkak, Johor antara alasan tidak munasabah yang diberikan oleh segelintir pemandu ketika ditahan di sekatan jalan raya (SJR) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, sepanjang SJR sehingga tengah malam tadi, hampir 100 buah kenderaan diarahkan berpatah balik selepas gagal mengemukakan surat kebenaran rentas negeri dan memberikan alasan-alasan remeh.
Katanya, situasi itu sekali gus menunjukkan masih ramai yang berdegil dan tidak mengambil serius mengenai penularan pandemik Covid-19 yang kini telah mengorbankan seramai 294 nyawa, sehingga semalam.
“Sepanjang SJR sehingga tengah malam tadi, seramai 87 buah kenderaan telah diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai surat rentas negeri malah ada yang tinggal di kawasan sempadan negeri ketika ditahan memberikan alasan mahu ke Tangkak untuk membeli barangan keperluan.
“Ada juga yang memberitahu mahu menziarahi sanak saudara walaupun perkara itu sudah jelas tidak dibenarkan kecuali hanya kes-kes kecemasan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan SJR di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sharul Lalli berkata, sebanyak 12,150 buah kenderaan telah diperiksa di lapan lokasi SJR di negeri ini yang dilaksanakan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Jelasnya, lapan lokasi SJR tersebut termasuklah di Plaza Tol Ayer Keroh; Plaza Tol Simpang Ampat; Plaza Tol Lipat Kajang; Cherana Putih; Kuala Linggi; Pulau Sebang; Kesang Pajak dan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Sungai Rambai.
“Polis Melaka turut melaksanakan sekatan jalan raya secara mobile (bergerak) selama 24 jam di beberapa lokasi untuk memberitahu orang ramai mengenai PKPB.
“Dalam perlaksanaan SJR dan pemantauan ini, seramai 1,236 orang anggota termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), ATM dan Rela telah ditempatkan untuk penugasan sepanjang PKPB kali ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Sharul Lalli berkata, setakat semalam, sebanyak 4,073 permohonan telah diterima untuk merentas negeri sepanjang tempoh PKPB. -K! ONLINE