PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu PLANMalaysia menjadi sebuah jabatan kerajaan yang penting pada masa depan selari peranannya merancang guna tanah di negara ini.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau juga mahu PLANMalaysia turut menguatkuasakan peranannya bukan hanya di peringkat persekutuan sebaliknya di negeri-negeri.
“Saya ingin letakkan PLANMalaysia sebagai satu jabatan yang sangat penting kerana jabatan ini yang menentukan apa pengguna tanah di negara kita.
“Saya melihat guna tanah di negara ini tidak mengikut perancangan asal khususnya di peringkat negeri. Sebagai contoh, ada tempat sepatutnya dijadikan kawasan lapang tetapi dibina bangunan.
“Ada juga kawasan yang perlu dibangunkan sebagai taman permainan tetapi ditukar kepada kompleks beli-belah,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Kebangsaan 2020 di sini hari ini.
Program itu turut ditayangkan secara virtual di laman Facebook KPKT.
Zuraida berkata, PLANMalaysia harus memikirkan kaedah bagi memastikan mereka turut mempunyai kuasa supaya guna tanah mengikut perancangan asal sekali gus menjamin pembangunan manpan.
Pada majlis sama, Zuraida turut menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Kehijauan Hijau 2020 (AKH2020) secara atas talian kepada pemenang bertuah.
AKH2020 dibahagikan kepada lima kategori iaitu kategori perumahan bertanah, perumahan bertingkat, kampung dalam bandar, kampung luar bandar dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tempat pertama bagi kategori perumahan bertanah dimenangi oleh Komuniti Rukun Tetangga Al-Husna, Seksyen 20, Shah Alam Selangor manakala, ketegori perumahan bertingkat pula milik Komuniti Rukun Perumahan Awam Seri Perlis 2, Kuala Lumpur.
Selain itu, Surau Kampung Tersusun Batu Putih, Kampar, Perak meraih tempat pertama bagi kategori kampung dalam bandar manakala, kategori kampung luar bandar dimenangi oleh Mohd. Hazwan Mohd. Jalani dari Kampung Sementa, Kapar, Klang, Selangor.
Bagi kategori PBT pula, tempat pertama diraih oleh Presint 8 yang mewakili Perbadanan Putrajaya (PPj).
Tiga pemenang dipilih bagi setiap kategori yang mana tempat pertama membawa pulang RM5,000, tempat kedua (RM4,000) dan tempat ketiga (RM2,500).
Selain itu, Anugerah Khas (Ikon IKH2020) dimenangi oleh Mohd. Hazwan manakala, Anugerah Khas Yang Berhormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula dimenangi oleh Komuniti Rukun Tetangga Al-Husna. -K! ONLINE