MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan agar kejohanan bola sepak berprestij, Piala Malaysia ditangguhkan ke tarikh baharu.
Keputusan itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah ditetapkan oleh kerajaan melibatkan Semenanjung kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis bermula semalam sehingga 6 Disember depan kerana penularanan pandemik Covid-19.
Ismail Sabri berkata, meskipun saingan Piala Malaysia dilangsungkan tanpa penonton, bola sepak adalah sukan bersentuhan yang boleh mendatangkan risiko jangkitan Covid-19 yang tinggi terhadap semua pemain.
“Saya minta maaf kepada peminat bola sepak. Hasil mesyuarat yang dibuat bersama KKM, kami bersetuju untuk mengesahkan saingan Piala Malaysia perlu ditangguhkan ke satu tarikh baharu kemudian.
“Walaupun saingan dilangsungkan tanpa penyokong, namun setiap sentuhan dengan peluh yang dikeluarkan oleh pemain dianggap berisiko dan berbahaya dalam menularkan jangkitan Covid-19.
“Saya harap semua bersabar, apabila keadaaan kembali seperti biasa, pertandingan boleh diadakan tanpa penonton. Apa yang pasti, frontliners (barisan hadapan) telah berusaha keras untuk memutuskan rantaian Covid-19 ketika ini,” katanya pada sidang akhbar harian Covid-19 semalam.
Ini bukan kali pertama saingan Liga Malaysia (Liga M) ditangguhkan kerana sebelum ini aksi Liga Super dan Liga Premier telah ditunda lebih lima bulan pada Mac lepas, selain Piala Malaysia yang turut dipinda bermula Oktober lepas ke bulan ini.
Sebagai rekod, aksi Piala Malaysia sudah pun membuka tirai pusingan pertama dengan lapan pasukan bakal berentap di pentas suku akhir dengan jadual perlawanan sudah dikeluarkan.