WEST BROMWICH – Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho percaya sukar untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun mampu mencabar saingan musim ini.
Spurs kini berada di tangga kedua Liga Perdana selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas West Bromwich Albion di Stadium The Hawthorn malam kelmarin.
Setakat ini, Spurs menang perlawanan liga tiga kali berturut-turut selain tidak pernah tewas dalam semua pertandingan sejak kalah kepada Everton pada aksi pembukaan liga.
“Saya berani cakap pasukan ini (Spurs) boleh memenangi kejuaraan liga jika beraksi di negara lain. Liga Perdana Inggeris berbeza kerana ia sangat sukar.
“Anda tidak boleh jangka bila pasukan akan hilang mata kerana liga ini memiliki banyak pasukan terbaik seperti Liverpool, Chelsea, Manchester United dan Leicester City,” kata Mourinho.
Bekas jurulatih Real Madrid itu juga menegaskan tidak peduli dengan aksi pasukan-pasukan lain kerana beliau hanya mahu memberikan fokus kepada pasukannya.
“Saya hanya mahu pasukan fokus pada perlawanan demi perlawanan dan jangan peduli dengan aksi pasukan lain. Setiap pasukan akan berdepan situasi kehilangan mata pada musim ini,” tambah beliau.
Spurs berjaya meledak gol kemenangan menerusi penyerang sensasinya, Harry Kane kira-kira dua minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat. – AGENSI