fbpx

K2

Memori seabad Pondok Polis Pengkalan Kempas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD (tiga dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Majlis Peringatan 100 Tahun Pondok Polis Pengkalan Kempas, Port Dickson baru-baru ini.

SIAPA sangka Pondok Polis Pengkalan Kempas, Port Dickson yang sudah pun berusia 100 tahun menyimpan memori manis dalam sejarah perdagangan di negara ini melalui kewujudan Pelabuhan Linggi.

Tempat itu menjadi lokasi wajib bagi setiap pedagang atau individu yang tiba di pelabuhan perlu melaporkan diri terlebih dahulu di Pondok Polis Pengkalan Kempas sebelum memulakan aktiviti masing-masing.

Itu antara fakta sejarah yang dikongsikan oleh Ketua Pondok Polis Pengkalan Kempas, Koperal Mohamad Yusoff Mohamad, 59, melalui cerita orang-orang tua terdahulu di penempatan berkenaan sebaik melaporkan diri bertugas di pondok berkenaan pada 25 Disember 1999.

“Saya dapat cerita daripada orang tua-tua di sini yang menyatakan Pengkalan Kempas ini suatu masa dahulu adalah satu pelabuhan dan persinggahan pedagang-pedagang baik dari England, China, Belanda dan lain-lain.

“Saya dapat tahu juga di sinilah mendaratnya Yap Ah Loi dan Puteri Hang Li Po. Malah, barang-barang pedagang dari sini di bawa ke Seremban menggunakan kereta lembu pada masa itu,” katanya ketika ditemui sempena majlis Peringatan 100 Tahun Pondok Polis Pengkalan Kempas baru-baru ini.

Hadir merasmikan majlis itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Negeri Sembilan, Datin Norlela Idris.

Yusoff berkata, apa yang lebih menarik lagi mengenai Pondok Polis Pengkalan Kempas adalah ia menjadi lokasi pertama yang harus dikunjungi terlebih dahulu oleh individu yang turun dari pelabuhan yang terletak di Sungai Linggi kira-kira 10 meter.

“Tugas polis ketika itu adalah mengutip cukai buat kerajaan, selain bertanggungjwab menjaga ketenteraman awam,” katanya.
Kini jelasnya, penempatan di kawsan berkenaan didiami oleh pelbagai kaum ini semakin berkembang dengan penduduk seramai 506 orang.

Katanya, fungsi pondok berkenaan yang dahulunya sebagai balai polis telah dipindahkan ke Balai Polis Linggi sejak tahunn 1970-an lagi,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, Pondok Polis Pengkalan Kempas dahulunya merupakan sebuah balai polis yang dibina bagi tujuan mengawal ketenteraman dan keselamatan penduduk.

Menurutnya, balai polis berkenaan telah diwartakan pada 20 September 1920 mengikut Warta Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Seksyen 9 Enakmen Tanah 1911.

“Kekuatan asal balai ini terdiri daripada seorang koperal dan lima konstabel dengan luas keseluruhan balai polis ini adalah 1.485 ekar.

“Pada 15 Mei 1971, balai polis ini telah dijadikan sebagai pondok polis dan telah dirasmikan pembukaannya oleh Tun Hamzah Tun Abdul Raffar yang merupakan Ketua Polis Negeri Sembilan pada masa itu.

 

YUSOFF (tiga dari kiri) bergambar kenangan dengan anggota yang ditugaskan di Pondok Polis Pengkalan Kempas dan juga Balai Polis Linggi.

 

Menurutnya, pondok polis berkenaan kini hanya mempunyai kekuatan seramai dua anggota sahaja.

“Bagaimanapun hari ini dalam majlis serba ringkas, kita ingin bersama masyarakat meraikan kewujudan pondok polis ini yang sudah pun berusia 100 tahun.

“Secara tidak langsung, kita dapat menjalinkan hubungan baik antara penduduk dengan pihak polis.

“Lebih-lebih lagi hubungan penduduk di kawasan ini dengan polis sejak dari dahulu lagi sangat erat dan baik,” jelasnya.

Malah menurutnya, maklum balas penduduk setempat juga terhadap komitmen polis di pondok polis terbabit dan juga Balai Polis Linggi juga amat baik.

Komuniti setempat, ujarnya, telah memberikan kerjasama yang baik kepada polis.

“Polis juga melaksanakan komitmen dalam menjaga keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI