VALENCIA – Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane menyalahkan diri sendiri terhadap prestasi mengecewakan dipamerkan anak-anak buahnya dalam kekalahan memalukan 1-4 kepada Valencia pada aksi La Liga di Stadium Mestalla awal pagi semalam.
Lebih malang, Zidane, 48, terpaksa menyaksikan pasukannya memberikan tiga sepakan penalti yang disempurnakan oleh Carlos Soler untuk meledak hatrik buat Valencia selain gol sendiri daripada pemain pertahanan tengahnya, Raphael Varane.
Pengendali dari Perancis itu mengakui, masalah di benteng pertahanan Real cukup ketara selepas melepaskan 14 gol daripada tujuh perlawanan sejak Oktober lalu.
“Terlalu berat untuk saya terima tiga sepakan penalti dan satu jaringan sendiri. Saya patut dipersalahkan kerana saya ketua jurulatih pasukan ini.
“Saya tak boleh terima apa yang berlaku dalam perlawanan ini. Saya tidak mahu mencari alasan tetapi ini adalah hari yang sangat buruk buat kami,” katanya.
Real bagaimanapun bermula cemerlang apabila membuka tirai jaringan menerusi jaringan menarik Karim Benzema pada minit ke-23 sebelum segala-galanya berubah apabila Valencia berjaya meraih tiga sepakan penalti dan satu jaringan sendiri daripada Varane.
Kekalahan itu menyaksikan Real berada pada kedudukan keempat dengan 16 mata daripada lapan perlawanan, empat mata di belakang pendahulu liga, Real Sociedad yang berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Granada kelmarin. – AGENSI