AMPANG – Seorang bapa terpaksa meringkuk dalam lokap Balai Polis Ampang selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini tidak membenarkan dia diikat jamin atas 41 pertuduhan merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual terhadap anak kandungnya yang dilakukan dari Januari hingga Oktober tahun ini.
Hakim Norhazani Hamzah membuat keputusan itu selepas mendengar dan menimbang permohonan daripada pihak pendakwaan dan rayuan tertuduh sendiri.
Timbalan Pendakwa Raya S.Sangitaa membantah sebarang ikat jamin terhadap tertuduh memandangkan dalam kes ini, hubungan mangsa dan tertuduh merupakan ayah dan anak kandung.
“Pihak pendakwaan khuatir tertuduh melarikan diri dan menganggu mangsa yang merupakan anak kandungnya. Sebagai seorang penjaga, tertuduh sepatutnya bertindak melindungi anak kandungnya dan bukan bertindak melakukan perkara yang menjijikkan seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan. Atas dasar itu pendakwaan membantah sebarang jaminan,” kataya.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan ikat jamin dengan alasan dia perlu menguruskan syarikat serta kebajikan pekerja termasuk menjaga tiga kakak dan seorang adik yang menghidap penyakit kanser.
“Saya merayu mahkamah memberikan ikat jamin kerana saya juga menjaga isteri dan anak-anak saya,” katanya.
Terdahulu semasa prosiding tertuduh yang berusia 42 tahun yang juga pengusaha syarikat pembersihan itu mengaku tidak bersalah atas 41 pertuduhan tersebut selepas semua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah hampir dua jam.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di daerah ini pada Januari hingga Oktober lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Disember ini sebagai sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam. – K! ONLINE