LEICESTER – Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers percaya pasukannya memiliki kriteria yang tepat untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menduduki tangga teratas dengan 18 mata selepas mengharungi lapan perlawanan.
Sebagai rekod, Leicester yang merupakan juara EPL edisi 2015/16 telah meraih kemenangan keenam musim ini selepas menewaskan Wolverhampton 1-0 di Stadium King Power hasil jaringan tunggal penyerang sensasi, Jamie Vardy.
Kata Rodgers, pasukannya perlu meneruskan momentum yang sama apabila saingan liga kembali disambung selepas cuti rehat aksi antarabangsa apabila dijadualkan bertemu Liverpool dua minggu lagi.
“Ia adalah permulaan yang sangat memberangsangkan buat pasukan apabila berjaya mendahului liga selepas tamat lapan perlawanan. Ini adalah keputusan yang cukup positif dan barisan pemain saya berhak untuk meraikan kedudukan pasukan ketika ini.
“Dalam masa yang sama, saya tidak mahu mereka terlalu gembira kerana saingan masih di peringkat awal musim. Cuma, pemain kami memberikan fokus yang baik meskipun pasukan dibelenggu kecederaan dengan 12 pemain utama terpaksa diketepikan.
“Secara keseluruhan, saya harap momentum ini dapat diteruskan kerana pasukan akan mengharungi perlawanan yang cukup penting selepas ini. Namun, meraih sembilan kemenangan dalam 12 perlawanan di semua kejohanan adalah keputusan yang boleh dibanggakan,” katanya.
The Foxes dilihat menjadi pasukan paling bertuah dalam kancah EPL selepas dihadiahkan sembilan sepakan penalti musim ini selain dua sepakan pada aksi kelmarin yang mana Vardy hanya menyempurnakan satu jaringan, manakala satu lagi sepakan penaltinya berjaya diselamatkan penjaga gol Wolves, Rui Patricio. – AGENSI