KREDIBILITI kerjaya tiga jejaka itu tidak perlu dinafikan lagi. Masing-masing pernah menggenggam trofi berprestij dalam industri muzik tempatan.
Buat julung kali dalam sejarah, penama yang masing-masing merupakan pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) 2017 dan 2018, Hael Husaini, Juara AJL 2019, Naim Daniel dan pemenang tempat ketiga AJL 2017, Haqiem Rusli kini bergabung demi sebuah impak bertenaga dan beremosi menerusi Lara.
Dijangka bakal menjadi satu fenomena, menariknya Lara yang ditulis dan digubah oleh Hael Husaini sendiri bersama rakan komposer, MFMF turut mendapat sentuhan daripada Naim Daniel dan Haqiem Rusli.
Hael yang pernah memenangi Anugerah MeleTOP ERA 2019 berkata, dia berasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Naim dan Haqiem atas kerjasama yang diberikan.
“Saya ingin ucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada kedua-dua penyanyi muda berbakat besar tanah air, Naim Daniel dan Haqiem Rusli kerana kesudian mereka bekerjasama dalam Lara,” kata Hael.
Menurut penyanyi berusia 33 tahun itu, idea tercetusnya Lara timbul sewaktu dia berada di Jakarta mengendalikan rancangan Stariser bersama penyanyi, Chakra Khan.
Setibanya di Malaysia, Hael terus menghubungi MFMF untuk berbincang tentang idea tersebut.
“Lara yang membawa pengertian sedih menceritakan tentang perasaan yang remuk akibat dikecewakan seseorang.
“Namun pendengar bebas meletakkan interpretasi masing-masing berdasarkan pengalaman sendiri,” katanya.
Ujar pelantun lagu Jampi itu lagi, dia dan MFMF kemudiannya meminta Naim dan Haqiem untuk memberi sedikit gubahan dan idea bagi mencantikkan lagi Lara.
Menyifatkan kerjasama antara kedua-dua penyanyi itu sangat mudah, Hael memberitahu impian untuk bergandingan dengan Naim dan Haqiem telah lama difikirkan kerana masing-masing boleh dikatakan agak rapat antara satu sama lain.
Senior junior
Bagi Naim sendiri, peluang bekerjasama dengan Hael dan Haqiem memberikan pengalaman berbeza buat dirinya serta dapat keluar daripada zon selesa.
“Saya seronok dapat berkolaborasi dengan Hael dan Haqiem kerana kerjasama kami mudah selain keluar daripada zon selesa. Saya keluar daripada pasukan yang biasa saya bekerjasama,” ujar Naim.
Kata penyanyi dan juga pelakon itu lagi, dia mendapati Hael dan Haqiem mempunyai banyak persamaan, terutama dalam aspek muzik, sekali gus dapat mempelbagaikan idea.
Haqiem Rusli pula menyifatkan kerjasama dengan dengan Hael sebagai peluang yang luar biasa.
“Dia (Hael) merupakan senior yang saya kagumi dan seorang yang tegas dan tahu apa yang diinginkan.
“Saya sangat teruja dengan gabungan ini. Kalau dahulu, ada trio Tiga Suara (Ning Baizura, Shila Amzah dan Jaclyn Victor), kini kami tampilkan sesuatu yang berlainan demi mewarnai industri muzik tempatan,” kata Haqiem.
Lara yang dihasilkan dalam masa sekitar tiga bulan itu pastinya dapat memikat halwa telinga pendengar dengan sentuhan kreatif oleh pemain industri muzik berkaliber.
“Harapan saya sama sahaja untuk setiap karya yang dihasilkan.
“Saya mengharapkan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua penggemar muzik tempatan untuk menaikkan sesebuah lagu,” kata Hael.
Lagu Lara boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan panggilan nada dering telekomunikasi tempatan selain boleh didapat dalam semua platform penstriman seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer bermula 1 November 2020.