MANCHESTER – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mempertahankan keputusannya menurunkan keempat-empat penyerangnya pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester City di Stadium Etihad awal pagi semalam.
Sadio Mane, Mohamed Salah, Diogo Jota dan Roberto Firmino berada dalam kesebelasan utama yang menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata apabila seri 1-1.
Pemilihan pemain yang dilakukan Klopp nyata mengejutkan banyak pihak, namun bekas jurulatih Borussia Dortmund itu ada alasan tersendiri menurunkan keempat-empat penyerangnya.
“Bagi saya pemilihan ini masuk akal kerana kami ada banyak masa untuk rehat dan lakukan persiapan. Oleh itu, saya fikir ini keputusan terbaik untuk bertemu City.
“Saya mahukan kualiti pada bahagian serangan, jadi saya perlu berani buat keputusan. Memang saya fokus pada serangan tetapi pada masa sama, kami boleh bertahan dengan baik,” kata Klopp.
Mengulas aksi semalam, beliau mengakui beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan anak-anak buahnya, terutamanya pada separuh masa kedua.
“Aksi separuh masa kedua lebih bagus dan saya gembira dengan prestasi pemain kerana bermain seperti biasa. Bagaimanapun, masih ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki untuk perlawanan akan datang,” ujarnya. – AGENSI