KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas pelbagai jenis rokok seludup dengan nilaian cukai dianggarkan sebanyak RM6.6 juta sejak awal tahun ini.
Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Rakbi Mat Saud berkata, jumlah rampasan itu melibatkan sebanyak 126 kes hasil rampasan pihaknya di seluruh daerah dengan nilaian rampasan bernilai RM1.1 juta.
Katanya, meskipun kumpulan sindiket penyeludup menukar modus operandi untuk membawa masuk rokok secara haram, JKDM berjaya mengesan taktik yang digunakan mereka.
“Terbaharu, penyeludup dikesan menggunakan bot untuk membawa rokok seludup bagi mengaburi mata pihak berkuasa selepas semua pintu masuk di sempadan negara ditutup kecuali di Rantau Panjang.
“Bagaimanapun, kita berjaya mengesan bot penyeludup di perairan negara sebelum menjalankan operasi rampasan,” katanya ketika ditemui pemberita di Program Kastam Bersama Media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Rakbi berkata, penyeludup membawa rokok seludup menggunakan bot besar dan bertindak berhenti di tengah laut.
Katanya, bot-bot kecil akan ke lokasi mereka untuk mengambil rokok seludup sebelum barangan itu dihantar kepada orang tengah yang sudah menunggu untuk dijual kepada peniaga.
“Kita sentiasa melakukan pemantauan di setiap daerah dan di sempadan negara yang turut dikawal oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Bagaimanapun, aktiviti menyeludup rokok semakin berkurangan sejak penularan wabak Covid-19 di negara ini apabila pihak PGA menjalankan kawalan ketat di sempadan negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, sejak penularan wabak Covid-19 di negara ini, seramai 45 anggota telah di tempatkan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Rantau Panjang untuk melakukan pemeriksaan kenderaan perdagangan dari negara jiran.
Katanya, JKDM juga menempatkan lima anggota di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Kota Bharu untuk membantu pemeriksaan penumpang. -K! ONLINE