PETALING JAYA – Individu yang membuat transaksi pembayaran menggunakan kad kredit, debit serta melalui tingkap kaunter ‘pigeon hole’ di stesen minyak tidak perlu mendaftar di aplikasi MySejahtera atau secara manual.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendaftaran MySejahtera akan dikenakan kepada individu yang membuat pembayaran di dalam premis, membeli barangan atau menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Katanya, individu yang menggunakan tandas dan surau di stesen minyak juga perlu mendaftar di aplikasi Mysejahtera kerana mereka mungkin akan berjumpa dan bersentuh dengan orang lain.
“Individu yang mengisi angin tayar juga tidak perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual.
“Bagi individu yang menghantar kenderaan ke bengkel di setesen minyak, mereka perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau manual,” katanya pada sidang akhbar hari ini.-K! ONLINE