KIMANIS – Dua buah rumah kawasan lereng bukit ranap dalam kejadian tanah runtuh di Batu 18, Jalan Kimanis awal pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan pada kejadian berlaku sekitar pukul 1 pagi itu.
Difahamkan dua rumah berkenaan tidak berpenghuni ketika kejadian malahan dipercayai terdapat sejumlah rumah dibina di kawasan berbukit setinggi 150 meter terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Johainin Ruslan berkata, pihaknya hanya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.51 pagi.
“Hasil siasatan mendapati runtuhan setinggi 150 meter sudah memusnahkan dua buah rumah yang tidak berpenghuni dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
“Namun pasukan bomba tetap menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Johainin memaklumkan operasi itu membabitkan seramai sepuluh anggota bomba dan sebuah jentera serta sebuah kenderaan utiliti.
Menurutnya, operasi terbabit turut dibantu anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan Jabatan Kerja Raya Papar. – K! ONLINE