MEMULAKAN debut dalam dunia lakonan menerusi drama Live On yang akan disiarkan tidak lama lagi memberi pengalaman menggembirakan buat penyanyi Byungchan.
Masakan tidak, dia mengulang kali membaca skrip drama berkenaan sebanyak 10 kali dalam sehari demi penghayatan watak yang dijayakan.
Biarpun bukan memegang peranan utama, Byungchan tetap gembira ketika berbicara mengenai debut lakonannya.
Dalam drama terbitan JTBC tersebut, Byungchan memegang watak pelajar sekolah yang ceria dan pintar bernama Kim Yoo-shin.
“Sewaktu mula-mula membaca skrip, saya dapati karakter Kim Yoo-shin sangat dekat dengan diri sendiri.
“Ibarat saya menyarungkan baju yang kena dengan saiz badan.
“Saya sangat teruja dan tidak sabar menantikan drama ini ditayangkan. Setiap hari, saya baca skrip sehingga 10 kali untuk mendalami karakter,” katanya ketika muncul dalam temu bual bersama majalah 1st Look.
Drama Live On yang turut dibintangi Minhyun NU’EST, Jung Da-bin, Noh Jong-hyun dan Yeonwoo dijangka menemui penonton buat pertama kali pada 17 November ini.