fbpx

BSKU rekod keterangan Ahmad Jauhari, Chai Eian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD JAUHARI (kanan) antara mangsa yang terselamat selepas dua buah helikopter berlanggar di udara. - FARIZ RUSADIO

PUTRAJAYA – Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan hari ini merekodkan kenyataan dua mangsa yang terselamat dalam kejadian kemalangan helikopter di Taman Melawati pada 8 November lalu

Kedua-dua mangsa tersebut ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Airlines Berhad, Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, yang menerbangkan helikopter dan penumpang, Tan Chai Eian, 51.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti.

Kenyataan itu berkata, penyiasatan sebaliknya dilaksanakan bagi menentukan punca kemalangan bertujuan untuk menyelamatkan nyawa dan menghindari kejadian sama pada masa hadapan.

“Kedua-dua mangsa telah memberi kerjasama yang sangat baik semasa soal siasat yang dijalankan.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa tujuan utama penyiasatan dilaksanakan adalah untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan juga mengelakkan berlaku kemalangan yang sama pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, BSKU akan mengeluarkan satu laporan penuh berhubung hasil siasatan termasuk syor penambahbaikan bagi keselamatan penerbangan awam setelah keseluruhan siasatan selesai.

Kosmo! 9 November lalu melaporkan, dua buah helikopter dari syarikat My Heli Club berlanggar sesama sendiri di udara sebelum satu daripadanya hilang kawalan dan terhempas di Taman Melawati.

Kejadian itu mengorbankan bekas tentera laut, Mohamed Sabri Baharom, 56, yang menerbangkan helikopter berwarna biru dan penumpangnya, Mohd. Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41.

Sebuah lagi helikopter bewarna merah yang diterbangkan Ahmad Jauhari bagaimanapun berjaya membuat pendaratan selamat dan dia bersama Chai Eian hanya mengalami kecederaan ringan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI