PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) memberikan sokongan bersyarat terhadap Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 dengan meletakkan beberapa cadangan.
Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) berkata, cadangan tersebut termasuk pemberian penerusan moratorium pinjaman secara automatik dan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 kepada semua pencarum.
“Lanjutan moratorium pinjaman secara automatik perlu diberikan sehingga 30 Jun 2021.
“Belanjawan 2021 telah dapat menyediakan keperluan rakyat namun berdasarkan kepada pengharapan rakyat ia perlu ditokok tambah lagi,” katanya semasa berbahas bagi pihak BN di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, beliau yakin dan percaya keputusan untuk menerima dua cadangan utama yakni moratorium dilanjutkan hingga 30 Jun 2021 dan kelulusan untuk pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 secara sekali bayar (one-off) akan membawa kepada kepuasan rakyat yang lebih tinggi terhadap kerajaan.
“Pengeluaran secara tidak bersasar KWSP dan lanjutan secara automatik moratorium pinjaman secara automatik adalah langkah menyuntik dana terus ke tangan rakyat.
“Pengeluaran simpanan KWSP itu juga boleh diuruskan semula pada masa depan dengan penstrukturan semula caruman untuk tidak membebankan agensi berkenaan,” jelasnya.
Dalam pada itu Najib berkata, peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebanyak RM81 juta perlu dibatalkan.
Selain itu katanya, antara yang patut dipertimbangkan termasuklah pengurangan yuran pengajian kerana kos operasi di kampus sudah berkurangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), memandangkan pembelajaran banyak beralih secara dalam talian. – K! ONLINE