TAIPING – Sebuah premis perjudian atas talian yang dikesan beroperasi secara haram di Taman Kurau Aman, Batu Kurau dekat sini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik dalam operasi bersepadu hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam operasi bersepadu pada pukul 10.30 pagi dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad itu, pihaknya mendapati premis tersebut telah menjalankan aktiviti perjudian atas talian sejak dua bulan lalu.
“Premis ini menyediakan sistem tambah nilai 24 jam yang dijual melalui sebuah tingkap khas di belakang premis secara pandu lalu.
“Tindakan pemotongan bekalan elektrik diambil selepas polis mendapati ada kegiatan perjudian di premis tersebut,” katanya.
Tambah Osman, sekiranya premis berkenaan mahu membuat penyambungan semula elektrik, pemilik boleh mendapatkan kebenaran daripada pihak polis dalam tempoh 30 hari dengan syarat tiada lagi aktiviti perjudian dijalankan.
Katanya, untuk rekod, sebanyak 40 tangkapan dibuat dan empat premis telah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik di Taiping pada tahun ini.
“Kita akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana premis yang dikenal pasti menjalankan kegiatan aktiviti judi di atas talian.
“Tindakan akan diambil di bawah Seksyen 41(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 21(a) akta sama,” katanya.
Katanya, polis akan melakukan pembanterasan aktiviti perjudian secara berterusan walaupun kegiatan haram masih terkawal di kawasan Taiping.
Menurut Osman, beliau memohon kerjasama dari orang ramai untuk sama-sama berganding bahu dalam mencegah dan membanteras kegiatan perjudian seperti ini dengan menyalurkan maklumat yang sahih kepada pihaknya untuk polis mengambil tindakan yang sewajarnya. – K! ONLINE