Jika anda mencari jawapan pasti bagi persoalan yang diutarakan pada judul penulisan di atas, kemungkinan sukar untuk ditemukan jawapan.
“Tiada siapa tahu apa yang Thailand lakukan sebenarnya, tetapi setakat ini, mereka berjaya.”
Itu yang disimpulkan satu artikel oleh The New York Times yang mungkin berasa takjub dengan kurangnya kes Covid-19 di Thailand. Sehingga saat ini Thailand yang berpopulasi 69 juta orang hanya mencatatkan 3,837 kes dengan 60 kematian dan berada di tangga 149 mengikut bilangan kes Covid-19 di seluruh dunia. Sedangkan Thailand hakikatnya merupakan antara negara terawal di luar China yang dijangkiti Covid-19.
Apakah rakyatnya benar-benar melaksanakan penjarakan fizikal dalam musim pandemik ini? Lihat sahaja protes besar-besaran prodemokrasi di jalan raya dengan puluhan ribu orang berasak dan membanjiri jalan raya di negara mereka sejak September lalu sehingga hari ini, adakah itu lambang penjarakan fizikal?
Anehnya, hanya lima kes Covid-19 dilaporkan semasa protes dan kesemuanya melibatkan kes import, bukan penularan tempatan.
Bulan lalu, beberapa acara besar seperti Ratu Cantik Universe Thailand dilangsungkan meriah seperti biasa dengan kehadiran penyokong ketika kesemua negara di dunia terpaksa menangguhkan atau melangsungkannya dalam norma baharu secara online.
Thailand hakikatnya mula diancam pandemik itu seawal Januari lalu. Negara itu pernah menunjukkan peningkatan ratusan kes sehingga memaksa pemerintahnya melakukan perintah berkurung (lockdown) pada Mac lalu sebelum berakhir Julai lalu.
Berlainan keadaannya di Malaysia hari ini yang kembali bergelut dengan pandemik ini sehingga hampir seluruh negara perlu menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semula.
Sehingga Ahad lalu, kes Covid-19 di Malaysia berjumlah 39,357 kes dengan 282 kematian.
Artikel The New York Times yang cuba merungkai kelebihan Thailand itu juga cuba mengaitkan rakyat negara itu mungkin mempunyai kekebalan tubuh melawan jangkitan penyakit yang lebih baik.
“Saya tidak rasa hanya disebabkan oleh imuniti dan genetik semata-mata, ia juga berkait dengan budaya kami. Rakyat Thailand tiada sentuhan badan apabila membuat sapaan. Inilah juga budaya diamalkan penduduk di sekitar Sungai Mekong,” kata Dr. Taweesin Visanuyothin, jurucakap Covid-19 mewakili Kementerian Kesihatan Awam Thailand. Negara-negara di Sungai Mekong yang lain turut menunjukkan kes Covid-19 yang sangat rendah seperti Vietnam, Kemboja dan Laos. Vietnam hanya mencatatkan keseluruhan 1,213 kes, Kemboja (295 kes) dan Laos (24 kes) setakat Ahad lalu.
Kemungkinan juga Thailand mendapat ‘kebebasan’ hari ini kerana rakyatnya telah berjaya melakukan lockdown yang berkesan sebelum ini sehingga kes penularan tempatan harian berjaya menjadi sifar dan pernah sifar sehingga 100 hari.
Bagi Malaysia, perjuangan kita belum selesai. Marilah kita mematuhi PKPB ini dengan sebaik-baiknya agar kita kembali dapat mengecapi kehidupan sedia kala.