SEBERANG PERAI – Ketika mula menceburkan diri dalam perniagaan permaidani kira-kira enam tahun lalu, masalah utama yang dihadapi pasangan suami isteri ini adalah bagaimana untuk meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap perniagaannya yang hanya tertumpu secara online.
Dalam masa sama, pengasas syarikat Uzairayyan Enterprise, Rosfa Nizam Abu Seman, 43 dan isterinya, Rosyifa Sapihee, 37, terpaksa bersaing dengan peniaga warga asing terutamanya dari India dan Pakistan yang sememangnya sinonim dengan penjualan permaidani di Malaysia.
Pelbagai usaha telah dijalankan mereka khususnya dalam bidang promosi, meningkatkan pengetahuan serta maklumat mengenai produk kepada pelanggan.
“Berkat semangat dan sokongan daripada pelanggan, Uzairayyan Enterprise kini menjadi satu-satunya syarikat Bumiputera yang berjaya dalam perniagaan permaidani di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini
Di bawah jenama Uzairayyan Carpet, usahawan ini memiliki sebuah pejabat dengan bilik pameran yang boleh memuatkan lebih 100 contoh permaidani khususnya untuk kegunaan masjid, surau serta pejabat-pejabat kerajaan dan swasta.
Selain itu, mereka juga telah terlibat dalam hampir 100 projek pemasangan serta pembekalan permaidani di sekitar Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis, Selangor dan Negeri Sembilan.
Rosfa Nizam menjelaskan kebanyakan produk dibawa dari Turki, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir.
“Sehingga kini, permintaan terhadap permaidani dalam keadaan ekonomi sukar terus stabil dan pandemik Covid-19 tidak memberi kesan kepada operasi perniagaan sedia ada,” katanya.
Tambah Rosfa Nizam, bagi memudahkan urusan pembekalan serta pemasangan permaidani, syarikat memiliki pasukan sendiri yang berpengalaman dalam kerja-kerja itu selama hampir 20 tahun.