KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa) mohon kerajaan bantu pengusaha bas tempatan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Yang Dipertua Pembawa, Mohamad Kaharrudin Salleh berkata, operasi perkhidmatan bas ekspres yang terhenti kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pengusaha-pengusaha bas ‘lumpuh’ kerana hilang sumber pendapatan untuk membayar pinjaman dan hutang-hutang lain.
“Situasi yang dihadapi kini telah menyebabkan berlaku 90 peratus penurunan mendadak berdasarkan rekod jumlah kenaikan penumpang yang dicatatkan sepanjang pelaksanaan PKP.
“Oleh itu, kami memohon kerajaan mempertimbangkan beberapa bantuan segara dengan meminta semua syarikat kewangan untuk membenarkan lanjutan moratorium dan tidak mengenakan caj faedah tambahan sehingga PKP tamat dan keadaan ekonomi negara kembali stabil,” katanya pada sidang akhbar Pembawa di sini hari ini.
Mohamad Kaharuddin turut meminta supaya kerajaan memberikan bantun kepada pengusaha-pengusaha bas ekspres sepertimana program Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF) yang diberikan kepada pengusaha bas henti-henti.
“Pengusaha bas juga perlu membayar gaji pemandu dan pekerja sedangkan syarikat kini sangat tenat dan majoritinya umpuh kerana tiada pendapatan langsung.
“Pemberian subsidi, dana atau bantuan kepada pengusaha bas ekspres ini adalah untuk menyelesaikan masalah hutang-piutang termasuk kos penyelenggaraan yang membebankan ketika ini,” jelasnya.
Disamping itu katanya, ahli Pembawa juga sebulat suara mahu meminta kerajaan mengarahkan agar semua terminal tidak mengenakan caj sewa kaunter dan caj bayaran masuk bas ke terminal kepada para pengusaha bas ketika musim PKP. – K! ONLINE