fbpx

Terima kasih si penderma darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
DALIZA ARIFFIN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Makluman daripada Pusat Darah Negara mengenai penyusutan stok bekalan darah sehingga merayu kepada mereka yang sihat untuk tampil menjadi penderma darah menunjukkan isu ini semakin serius sejak negara berdepan dengan pandemik Covid-19 awal tahun ini.

Lebih kritikal apabila dilaporkan bahawa simpanan bekalan darah di negeri Sabah ketika ini pula mampu bertahan untuk tempoh dua minggu sahaja.

Bagi mereka yang tiada perasaan, rayuan tersebut hanya melintas di depan mata tanpa sebarang niat untuk membantu tetapi bagi mereka yang bertanggungjawab dan mahu menolong pesakit yang memerlukan darah, pastinya akan segera mendaftar diri untuk menjadi penderma darah.

Penulis juga begitu teruja untuk menjadi salah seorang penderma darah dan mahu merasai sendiri pengalaman sebagai penderma meskipun terlalu takut dengan jarum tatkala disuntik di lengan nanti.

Bagaimanapun, niat murni itu tidak dapat dilaksanakan kerana penulis mengalami penyakit anemia yang berkaitan dengan kekurangan sel darah merah atau hemoglobin sehinggakan baru-baru ini terpaksa menjalani pemindahan darah ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Selangor.

Bukan mudah rupanya menjalani proses pemindahan darah kepada pesakit, pemantauan yang kerap perlu diambil oleh jururawat yang bertugas.

Lima belas minit pertama semasa tempoh pemindahan tersebut adalah sangat kritikal bagi memastikan darah baharu itu bersesuaian dengan pesakit.

Sekiranya pesakit tidak mengalami sesak nafas dan tiada alahan seperti gatal di kulit badan maka proses berkenaan diteruskan dengan pemantauan yang rapi oleh jururawat.

Tekanan darah akan diambil bagi memastikan pesakit berada dalam keadaan selesa sambil berbaring dan berihat.

Tempoh pemindahan darah hanya untuk satu pain akan mengambil masa antara empat hingga lima jam.

Tiada kata untuk digambarkan bagaimana perasaan bila kembali sihat dan boleh bekerja serta menjalani aktiviti harian seperti biasa, namun jauh disudut hati mula bersemangat untuk membalas jasa si penderma darah untuk membantu pesakit lain yang memerlukan darah.

Tanggungjawab untuk mengisi stok bekalan darah di Pusat Darah Negara perlu diambil berat oleh mereka yang sihat, golongan muda juga harus mengambil pe­ranan untuk terlibat sama dalam usaha murni ini.

Mungkin niat dan usaha itu bukan sahaja dapat membantu pesakit tetapi juga mungkin ia diperlukan oleh ahli keluarga atau sanak saudara kita yang terlantar sakit dan memerlukan darah pada masa depan.

Kerajaan sememangnya menyediakan ganjaran istimewa kepada mereka yang menderma darah terutama kepada kumpulan penderma setia untuk mendapatkan rawatan yang terbaik di hospital awam jika mereka dimasukkan ke hospital.

Namun, jangan dikira daripada aspek ganjaran itu tetapi ia terlalu besar maknanya bagi pesakit untuk membolehkan mereka meneruskan rawatan atau kembali sihat dan pulang ke pangkuan orang tersayang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI