fbpx

SUKMA dan Para SUKMA 2020 dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia (KBS) mengambil keputusan membatalkan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2020 yang dijadual berlangsung di Johor pada Mac dan April tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan itu dibuat atas beberapa sebab antaranya ketidaktentuan dalam penularan wabak Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya sukar menyediakan jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30,000 orang yang akan terlibat antaranya atlet, jurulatih, pegawai sukarelawan, pengurusan dan sebagainya tidak mengambil kira penonton dan peminat sukan.

“Dua kali penangguhan sebelum ini menyebabkan peningkatan kos pengurusan dan ketidaktentuan tarikh SUKMA dan Para SUKMA memberi tekanan serta kekangan kepada pelaksanaan program latihan atlet,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA secara online di pejabatnya di sini hari ini.

Reezal Merican berkata, kalendar beberapa temasya sukan tempatan dan antarabangsa pada tahun 2021 juga terlalu rapat dengan beberapa tarikh penting seperti Ramadan (13 April hingga 12 Mei 2021), Kejohanan Bola Sepak Euro 2020 (11 Jun hingga 11 Julai 2021), Sukan Olimpik Tokyo 2020 (23 Julai hingga 8 Ogos 2021), Sukan Paralimpik Tokyo 2020 (24 Ogos hingga 5 September 2021).

Beliau berkata, pada masa sama, Johor melahirkan kesediaan mereka untuk menganjurkan SUKMA dan Para SUKMA ke-20 pada tahun 2022 nanti kerana secara amnya sudah 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal kemudahan pertandingan dan sebagainya.

“Oleh itu Jawatankuasa Tertinggi SUKMA membuat keketapan SUKMA dan Para SUKMA 2020 ditangguhkan dan penganjurannya dibawa ke tahun 2022.

“‘Negeri Johor ditawarkan semula menjadi tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA pada tahun 2022,” jelasnya.

Menurutnya, Jawatankuasa Tertinggi SUKMA juga memutuskan tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA 2024 akan kembali ke Majis Sukan Negara yang akan menganjurkannya bersama dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Jawatankuasa Tertinggi SUKMA juga bersetuju SUKMA dan Para SUKMA 2026 akan dianjurkan oleh negeri Kelantan dan ia dipersetujui oleh wakil kerajaan negeri itu,” katanya.

SUKMA dan Para SUKMA 2020 sepatutnya berlangsung pada Julai dan Ogos lalu tetapi ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 sebelum dijadualkan semula tahun depan pada 8 hingga 13 Mac (Para SUKMA) dan 2 hingga 10 April (SUKMA). -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI