SUBANG JAYA – Allahyarham Mohd. Irfan Fikri Mohamed Rawi sempat menghubungi isterinya, Wan Nani Bazlin Wan Mahmud sebanyak sembilan kali sebelum helikopter dinaikinya dilaporkan terhempas di Taman Melawati, Ampang semalam.
Anak sulung Allahyarham, Farid Ridhuwan Mohd. Irfan Fikri, 15, berkata, panggilan tersebut bagaimanapun tidak dijawab kerana tidak disedari oleh mereka sekeluarga.
“Sebelum kejadian, kira-kira pukul 10 hingga 11 pagi, ayah ada menghubungi ibu melalui panggilan telefon namun panggilan tersebut tidak diangkat kerana ibu tidak perasan.
“Ibu cuba menghubungi ayah semula selepas terlihat panggilan tidak berangkat itu namun tiada jawapan dan tidak lama kemudian ibu terlihat berita di Facebook mengenai helikopter terhempas,” jelasnya sayu ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 di sini hari ini.
Menurut Farid, kali terakhir dia bertemu dan berbual dengan ayahnya adalah pada malam sebelum hari kejadian.
“Malam itu (kelmarin) ayah ada nyatakan hasrat untuk membawa kami sekeluarga pergi memancing petang semalam namun ini pula yang terjadi.
“Ayah seorang yang kuat berusaha dan tidak pernah menunjukkan kesusahan dialaminya dalam membesarkan kami dan dia juga sentiasa tersenyum jadi agak sukar untuk kami sekeluarga menerima pemergian ayah kerana dia sentiasa ada di sisi kami,” luahnya.
Jenazah Allahyarham Mohd. Irfan Fikri selesai disemadikan kira-kira pukul 5 petang selepas disolatkan di Surau Al-Ikhwan PUJ 2 Taman Puncak Jalil.
Terdahulu, helikopter yang dinaiki arwah bersama juruterbang, Mohamamed Sabri Baharom terhempas selepas dipercayai berlanggar dengan sebuah lagi helikopter sewaktu sedang dalam penerbangan menuju ke Genting Sempah dari Lapangan Terbang Subang. -K! ONLINE