fbpx

PKPB: Persidangan DUN Kedah diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Persidangan DUN Kedah akan tetap berlangsung walaupun masih dalam tempoh PKPB.

ALOR SETAR – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dimulakan dengan pembentangan Belanjawan Kedah 2021 pada 15 November ini akan diteruskan walaupun masih dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Speaker DUN, Juhari Bulat berkata, persidangan tersebut akan berlangsung dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Persidangan DUN akan berjalan selama lima hari mulai 15 November ini hingga 19 November ini dengan masa persidangan dari pukul 8.30 pagi hingga 1 petang sahaja.

“Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendaklah melakukan ujian saringan Covid-19 selewat-lewatnya tiga hari sebelum bersidang dan keputusan hendaklah dilampirkan di pintu masuk DUN,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan, kerajaan negeri telah mendapatkan pandangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perjalanan persidangan DUN kali ini.

Persidangan kali ini dilihat penting memandangkan Muhammad Sanusi akan membentangkan belanjawan negeri buat kali pertama sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Mei lalu.

Tambah Juhari, penghadang lutsinar akan dipasang dan bertindak sebagai pembahagi tempat duduk setiap ADUN dengan permukaan seperti pintu, meja serta mikrofon akan disanitasi sebelum dan selepas sidang.

“Jemputan dihadkan hanya kepada ADUN dan ketua jabatan terlibat sahaja dengan pemerhati luar tidak dibenarkan masuk semasa sidang berlangsung.

“Pihak media juga tidak dibenarkan masuk membuat liputan di dalam dewan yang mana liputan cuma boleh dibuat secara siaran video di kawasan ditetapkan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI