PARIS – Impian jaguh tenis No.2 dunia, Rafael Nadal untuk meraih gelaran pertama di kejohanan Paris Masters tidak kesampaian apabila tersingkir di peringkat separuh akhir kelmarin.
Pilihan utama itu dilihat gagal mengekalkan permainan yang cukup baik apabila tewas straight -set 4-6, 5-7 kepada Alexander Zverev di Bercy Arena.
Nadal mengakui mahu melupakan kekalahan itu dan fokusnya beralih dalam persiapan memburu kemenangan pertama di Jelajah ATP final yang bakal berlangsung di London bermula 15 November ini.
“Sudah tentu saya tidak gembira apabila tewas tetapi ia adalah adat dalam perlawanan. Bagi saya ia merupakan kejohanan yang positif untuk saya.
“Saya menghabiskan masa yang lama atas gelanggang. Sudah tentu saya mahu memenangi kejohanan ini tetapi ia sentiasa sukar.
“Namun, saya sudah berusaha dengan memberi saingan pada setiap perlawanan. Ia memberi peluang kepada saya untuk beraksi empat perlawanan yang saya rasakan akan membantu untuk saingan di London.
“Saya perlu perbaiki beberapa kelemahan lagi dan meningkatkan tahap permainan sebelum bermula ATP Final nanti,” kata Nadal.
Bintang sensasi Sepanyol itu beraksi buat kali pertama sejak memenangi gelaran ke-13 Terbuka Perancis di Roland Garros bulan lalu.
Nadal juga meraih kemenangan ke-1,000 sepanjang kariernya ketika bangkit menewaskan Feliciano Lopez pada pusingan kedua dan turut dipaksa bekerja keras menewaskan Pablo Carreno Busta di suku akhir. – AGENSI