MELAKA – Melaka membenarkan semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang berdaftar beroperasi sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Negeri , Datuk Latipah Omar berkata, keputusan itu telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) pagi tadi.
Jelasnya, bagaimanapun kebenaran beroperasi itu hanya diberikan kepada taska yang berdaftar dan mendapat kelulusan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pada mesyuarat JKKN yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali pagi tadi, kita telah memutuskan taska yang berdaftar boleh beroperasi seperti biasa.
“Jika taska swasta itu berdaftar dengan JKM, mereka perlu membuat permohonan dengan jabatan berkenaan terlebih dahulu untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, keputusan itu juga diharap sedikit sebanyak dapat memudahkan urusan ibu bapa yang perlu bekerja.
Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan penutupan taska yang menyukarkan ibu bapa bekerja sejak PKPB dilaksanakan akan dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.
Katanya, kerajaan memahami dilema dihadapi ibu bapa yang bekerja tetapi pada masa sama terpaksa menjaga anak kerana penutupan pusat berkenaan. -K! ONLINE