PETALING JAYA – Malaysia berharap perubahan yang sedang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan memberi impak positif terhadap usaha dunia mewujudkan Palestin sebagai sebuah negara yang bebas.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, Malaysia akan memantau perkembangan tersebut susulan kemenangan Joe Biden pada pilihan raya presiden AS ke-46 baru-baru ini.
“Perkembangan perubahan politik AS sedang kita pantau khususnya berkaitan isu Palestin. Kita meletakkan harapan supaya perubahan yang lebih baik dalam suasana Palestin Israel ketika ini.
“Bagaimanapun kita harus terus berusaha supaya apa yang dihajati dunia melihat Palestin wujud sebagai sebuah negara yang bebas diteruskan dengan adanya pentadbiran baharu di AS,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mahu tahu tentang pandangan Malaysia sama ada hubungan antara Palestin dan Israel akan lebih baik dibawah pentadbiran kerajaan AS yang baharu.
Terdahulu, Kamaruddin menegaskan Malaysia tetap menyokong pembentukan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan Baitulmuqaddis sebagai ibu Kota Palestin walaupun normalisasi negara Israel yang diterajui AS sedang giat dilaksanakan.
Menurut beliau, Malaysia berpegang teguh kepada pendirian dan prinsip itu walaupun beberapa negara di Asia Barat iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain telah menandatangi hubungan diplomatik dengan Israel.
Tegas beliau, Malaysia memahami rasa tidak puas hati rakyat Palestin dan negara itu berhak menzahirkan kekecewaan selepas sekian lama ditindas oleh rejim Isreal.
“Malaysia akan terus menyokong usaha yang jujur, konkrik dan realistik bagi mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Isreal Palestin,” katanya. – K! ONLINE