PENYANYI rap wanita Sophia Liana kembali meraih perhatian sejak melancarkan single terbaharu berjudul Dulu pada 9 Oktober lalu.
Lagu hasil ciptaan bersama Fadzril Asyraf itu sudah mula mendapat reaksi positif. Bahkan ada pendengar menyifatkan Dulu sebagai antara karya terbaik tempatan yang dikeluarkan pada tahun 2020.
Garapan lagu dengan susunan muzik indah itu telah menyerlahkan lagi kemerduan vokal penyanyi yang mesra disapa sebagai Sophia itu.
Melodi mesra telinga yang dihiasi dengan bait-bait kata mudah difahami, namun sarat dengan mesej tersirat, Dulu berjaya memberi kesan emosi kepada pendengar.
Bagi meneruskan lagi momentum lagu ini, Sophia turut melancarkan video muzik Dulu menerusi saluran YouTubenya bermula 27 Oktober lalu.
“Saya harap menerusi video muzik ini, pendengar dapat mendalami mesej dan merasai emosi yang cuba disampaikan dalam lagu,” kata Sophia.
Sementara itu, Shimy Latif dipertanggungjawabkan untuk mengarahkan video muzik Dulu cuma membayangkan suasana yang tenang dan indah tanpa sarat dengan efek visual yang melampau.
“Secara ringkasnya konsep video muzik ini adalah idea Sophia yang mahu memaparkan perasaan masa lalu dan masa kini.
“Mengambil inti pati utama lirik lagu Dulu, dalam video muzik ini Sophia digambarkan sebagai wanita yang merenung kembali masa lalunya dalam perspektif yang lebih positif.
“Baginya pengalaman suka duka lampau telah membentuk dirinya kini, dia menjadi matang, kuat dan berkeyakinan.
“Ketika mula-mula dengar lagu Dulu, saya membayangkan suasana yang tenang dengan pemandangan indah serta visual sedap mata memandang. Mempunyai pengalaman bekerja dengan
Sophia dalam video muzik Ngam sebelum ini, saya tahu Sophia berkebolehan untuk berinteraksi dengan kamera menerusi ekspresi wajah dan tubuhnya.
“Jadi setelah berbincang dengan Sophia dan pengarah fotografi iaitu Farhan Syaza, kami memutuskan untuk memfokuskan kepada Sophia sebagai subjek utama. Tanpa efek visual yang melampau, kami berharap video muzik ini mampu menjadi karya malar segar untuk tontonan masa hadapan kerana tema yang diangkat dalam lagu ini kekal relevan sepanjang zaman,” jelasnya.
Sebagai perlambangan hitam putih kehidupan, video muzik berkenaan digarap dengan dua elemen berbeza iaitu warna hitam dan putih, ruang luas dan sempit serta suasana malam dan siang.
Menurut Shimy lagi, proses kreatif dan permainan ekspresi Sophia berupaya menterjemah maksud lagu Dulu secara visual dan memberi kesan emosi kepada penonton.