fbpx

Kontraktor rugi lebih RM100,000 ditipu macau scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

BATU GAJAH – Seorang kontraktor kerugian lebih RM100,000 selepas diperdaya sindiket macau scam yang mendakwa dia mempunyai tunggakan kad kredit dan terlibat dalam kegiatan jenayah yang tidak wujud.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi semalam, mangsa yang berusia 45 tahun diperdaya selepas menerima panggilan dari seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai bank dan wanita yang mendakwa sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisionar Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Mr Lai yang juga pegawai Bank Negara ketika berada di rumah ibunya di Kampung Baru Chenderong dekat sini.

“Suspek memberitahu mangsa bahawa bahawa ada penggunaan kad kredit Ambank di atas namanya berjumlah RM11,188.35 yang mana penggunaan tersebut adalah untuk pembelian barangan daripada Lazada.

“Mangsa bagaimanapun menafikan perkara itu dan memaklumkan dia tidak pernah menggunakan kad kredit Ambank, suspek kemudian menyambungkan panggilan kepada Bukit Aman dan pengadu kemudian bercakap dengan seorang pegawai wanita yang mengaku sebagai Than Kok Hwa.

“Mangsa kemudian telah memberikan butiran dirinya kepada wanita berkenaan untuk membuat semakan dan memaklumkan bahawa akaun kad kreditnya telah disalahguna dan dia dikehendaki hadir ke
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ” katanya di sini hari ini.

Ahmad Adnan berkata, suspek turut bertanyakan akaun bank yang dimiliki mangsa dan dia memaklumkan mempunyai dua akaun iaitu di Ambank dan Hong Leong Bank.

Katanya, mangsa kemudian telah diarahkan untuk ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Hong Leong Bank dan Ambank cawangan Batu Gajah serta diarahkan untuk mengikut arahan diberikan bagi memeriksa akaun selain memaklumkan bahawa akaun mangsa dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Beliau berkata, selepas selesai mengikuti arahan suspek, mangsa mendapati wang daripada akaun Hong Leong Bank dan Ambank telah berkurangan sebanyak RM107,996.95.

“Suspek kemudian memberitahu beliau telah selesai membuat semakan dan membekukan akaun mangsa dan akan menghubungi semula mangsa.

“Mangsa yang curiga dan merasa telah ditipu kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Gajah petang semalam,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang mengenalpasti kedua-dua suspek dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI