LIVERPOOL – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menuduh pihak pengurusan Liga Perdana Inggeris (EPL) merancang komplot untuk melihat pasukan bimbingannya terus gagal termasuk tewas kepada Everton.
Bagaimanapun, pengurus dari Norway itu mungkin sedikit lega apabila The Red Devils berjaya menewaskan Everton 3-1 di Goodison Park kelmarin selepas mereka berdepan dua kekalahan berturut-turut kepada Arsenal dan Istanbul Basaksehir.
Pada aksi tersebut, United ketinggalan apabila Everton membuka tirai jaringan menerusi Bernard sebelum Bruno Fernandes meledak dua gol dan penggempur baharu, Edinson Cavani membuka akaun golnya di England menerusi gol ketiga.
Menurut Solskjaer, United tidak mendapat layanan adil daripada pihak pengurusan EPL apabila jadual perlawanan menentang Everton tersebut diadakan hanya selepas dua hari berlangsungnya saingan Liga Juara-Juara menentang Basaksehir.
“Kami telah menjadi mangsa kepada satu perancangan untuk melihat United gagal. Jadual perlawanan menentang Everton diatur untuk melihat kami tewas.
“Kami telah ke Turki dan tiba di Manchester Khamis lalu. Kemudian kami terpaksa beraksi menentang Everton pada perlawanan Sabtu (kelmarin). Ia merosakkan pasukan ini,” katanya.
Lebih membuatkan Solskjaer berang adalah dua pemainnya, Luke Shaw dan Marcus Rashford berdepan masalah kecederaan ketika beraksi pada perlawanan tersebut.
“Para pemain sepatutnya mendapat layanan lebih adil. Shaw mengalami kecederaan hamstring dan mungkin perlu mengambil masa yang lama untuk pulih manakala Marcus juga cedera tetapi belum dipastikan lagi tahapnya,” jelasnya.
Solskjaer turut mempertikai jadual perlawanan melibatkan Manchester City dan Liverpool yang berlangsung lebih lewat sedangkan kedua-dua pasukan itu terlibat dalam aksi Liga Juara-Juara sehari lebih awal berbanding United. – AGENSI