PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menutup sementara kesemua kaunternya di seluruh negeri yang terbabit dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, penutupan sementara itu selaras dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang melaksanakan PKPB di seluruh Semenanjung Malaysia kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis.
Beliau berkata, pelanggan yang mempunyai urusan Pas Jangka Panjang Pasangan/Anak kepada warganegara, Pas Pelajar, Pas Lawatan Ikhtisas dan Pas Penggajian serta mempunyai temujanji dalam tempoh PKPB boleh membuat temujanji baharu melalui Sistem Temujanji Online (STO).
“Penjadualan semula temujanji STO boleh dilakukan setelah perkhidmatan kaunter JIM dibuka semula dan diterima walaupun melepasi 31 Disember ini.
“Pemohon perlu memohon semula temujanji melalui STO setelah tempoh PKPB tamat dan kaunter imigresen dibuka semula,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, pelawat asing yang masuk ke negara ini sejak 1 Januari lalu dan tinggal lebih masa dibenarkan untuk meninggalkan negara melalui pintu masuk yang diwartakan tanpa perlu mendapatkan kemudahan Pas Khas dari pejabat JIM.
Bagaimanapun, katanya, kebenaran tidak terpakai untuk pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara yang telah tinggal lebih masa dalam tempoh PKPB.
“Segala persoalan berkaitan prosedur dan urusan imigresen pula boleh diajukan melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang boleh diakses melalui laman web rasmi JIM di pautan www.imi.gov.my,” katanya. -K! ONLINE