SHAH ALAM – Hulu Langat menjadi daerah paling tinggi Selangor mencatatkan kes keganasan rumah tangga bermula Januari hingga September lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri mendapati sebanyak 70 kes dicatatkan di daerah berkenaan.
Katanya, ia diikuti daerah Gombak dan Subang Jaya sebanyak 34 kes, Klang (29) dan jumlah kes bagi kawasan-kawasan lain adalah 87 kes.
“Sepanjang tempoh tersebut juga memperlihatkan 224 kes keganasan rumah tangga melibatkan kaum wanita dan 30 kes adalah lelaki.
“Perbuatan mendatangkan kecederaan atau mencederakan mangsa secara fizikal merupakan kes tertinggi iaitu dengan sejumlah 119 kes, meletakkan mangsa dalam ketakutan kecederaan fizikal (71) dan penderaan psikologi (50) dan selebihnya lain-lain,” katanya pada sidang akhbar Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita di Foyer Dewan Annex Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Terdahulu, Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor telah mengadakan Siri Pra Pelancaran Sambutan 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender sebagai langkah advokasi kepada masyarakat umum.
Pada pelancaran itu, beberapa ahli dewan undangan negeri mengangkat plakad slogan ‘Hentikan Keganasan, Hormat Wanita’ serta memakai pelitup muka berwarna oren sebagai tanda solidariti.
Mengulas lanjut, Mariah berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) pula mendapati sebanyak 4,872 panggilan dan mesej aplikasi WhatApps di talian bebas WAO dan “Talian Think I Need Aid atau Tina bagi tempoh Mac hingga September lalu.
“Kita turut telah melindungi 31 mangsa terdiri daripada wanita (16), kanak-kanak lelaki (6), kanak-kanak perempuan (5), dan selebihnya bayi dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM11,466,50 untuk tempoh April hingga Jun lalu,” katanya. -K! ONLINE