Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
JERANTUT – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Itulah bebanan besar yang dihadapi seorang ibu tunggal tujuh anak yang kini terpaksa menjadi ketua keluarga selepas kematian suaminya awal tahun ini.
Pada usia 37 tahun, Adicky Dzuliana Ab. Rahman yang tinggal di Taman Gemilang di sini perlu membesarkan tujuh anak lelakinya yang berusia antara tiga bulan hingga 12 tahun
Empat anaknya yang berusia tujuh tahun, sembilan tahun, 11 tahun dan 12 tahun tidak pernah bersekolah atas faktor kemiskinan.
Suaminya, Norhisam Adun meninggal dunia ketika usia 59 tahun akibat serangan jantung.
Adicky Dzuliana berkata, dia yang tidak bekerja hanya bergantung hidup kepada ihsan saudara-mara serta jiran.
“Arwah suami dahulu hanya berniaga kecil-kecilan berdekatan tempat tinggal kami di Kampung Melayu, Kepong, Selangor. Pendapatannya tidak banyak tetapi cukup untuk kami sekeluarga.
“Namun, selepas dia meninggal dunia, saya dibantu saudara sepupu berpindah ke sini dan sekarang perlu memikirkan bagaimana cara memperoleh wang belanja bagi membesarkan anak-anak,” katanya di sini semalam.
Adicky Dzuliana yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan berkata, sebagai ibu, dia sentiasa mengharapkan anak-anaknya dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain.
“Bukan saya tidak mahu keluar bekerja, tetapi anak-anak masih kecil dan perlu perhatian penuh. Saya tidak mampu menghantar mereka di rumah pengasuh atau tadika.
“Saya juga perlu menjaga ibu berusia 77 tahun yang kini terlantar akibat strok,” ujarnya.
Adicky Dzuliana berkata, ketika ini, dia berterima kasih kepada keluarga saudara sepupunya yang membayar sewa bulanan rumah dan menyumbangkan barangan keperluan dapur.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat Jerantut juga meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM450 sejak Oktober lalu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Adicky Dzuliana di talian 017-3137935 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam (Adicky Dzuliana) bernombor 12-225-02-041131-9.