PETALING JAYA – Keputusan Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat menetapkan cuma 80 Ahli Parlimen dibenarkan memasuki Dewan Rakyat pada satu-satu masa berikutan penularan wabak Covid-19 tidak sepatutnya menjadi isu besar.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, secara realiti kehadiran Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat sebelum keputusan itu dibuat hanya sekitar 100 hingga 120 orang pada satu-satu masa.
“Pada hari persidangan (sebelum ini), bukan semua 222 Ahli Parlimen berada dalam Dewan Rakyat. Sehari adalah 100 hingga 120 orang.
“Mereka bukan ada dalam Dewan Rakyat dari pukul 10 hingga 5.30 petang kerana mereka keluar masuk. Pada pukul 2.30 petang kadang-kadang hendak dapat korum pun tiada.
“Apabila kita buat konsesus 80 orang ini (cuma 80 Ahli Parlimen dibenarkan memasuki Dewan Rakyat pada satu-satu masa), tiba-tiba perkara ini menjadi besar,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjelaskan persoalan yang dibangkitkan Hassan Abdul Karim (PH- Pasir Gudang) berhubung hanya 80 Ahli Parlimen dibenarkan memasuki sidang Dewan Rakyat kali ini. – K! ONLINE