KOTA BHARU – Kerajaan negeri menyediakan gelang berwarna hijau kepada golongan kenamaan dan pegawai untuk berurusan di Kelantan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan yang berkuatkuasa hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr. Izani Husin berkata, pemakaian gelang itu yang pertama kali diperkenalkan di negeri ini bagi membezakan individu yang positif Covid -19 iaitu memakai gelang berwarna pink.
“Penggunaan gelang berwarna hijau itu perlu dipakai sebaik pegawai dan orang kenamaan masuk ke negeri ini untuk urusan rasmi bagi jangka masa pendek selain perlu menunjukkan surat kebenaran.
“Gelang itu akan diberikan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia yang ditugaskan di empat pintu masuk yang ditetapkan termasuk Lapangan Terbang Ismail Sultan Ismail Petra.
“Apabila mereka selesai berurusan di negeri ini, gelang itu akan dipotong,” katanya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Sementara itu, Dr.Izani berkata, bagi individu yang pulang ke Kelantan,mereka perlu memakai gelang bewarna pink dan menjalani ujian swab selain kuarantin diri selama 14 hari dan jika didapati keluar di tempat awam denda RM1,000 tetap dikenakan.
Tambahnya, tidak dinafikan kebimbangan masih ada berikutan cuti persekolahan bermula hari ini kerana ramai akan pulang termasuk pelajar.
“Ini mungkin kerana mereka yang pulang itu ramai dari Zon Merah termasuk dari Klang, Selangor,”katanya. -K! ONLINE