KOTA BHARU – Penduduk Kampung Air Papan, Batu Melintang dekat Jeli akhirnya mampu menarik nafas lega apabila seekor gajah jantan liar yang mengganggu rumah dan tanaman mereka sejak empat bulan lalu telah berjaya ditangkap.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan telah menjalankan operasi menangkap gajah liar itu kira-kira pukul 11 pagi pada Jumaat lalu di kawasan belukar kebun getah di kampung berkenaan.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif Yunus berkata, hasil pemeriksaan terhadap haiwan berkenaan mendapati ia tidak mengalami sebarang kecederaan malah keadaannya juga stabil.
Katanya, gajah tunggal itu merupakan haiwan yang dipercayai mengganggu kawasan kampung sejak Julai lalu sehingga menyebabkan rumah penduduk mengalami kerosakan.
“Haiwan itu turut memusnahkan tanaman pertanian penduduk. Penduduk kampung telah membuat aduan sebelum Perhilitan membuat pemantauan di situ dan menangkapnya Jumaat lalu.
“Dengan penangkapan gajah liar itu, kita telah berjaya menyelamatkan seramai 8,000 isi rumah dari sembilan buah kampung di Daerah Batu Melintang yang sebelum ini hidup dalam kebimbangan akibat ancaman haiwan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ady Ermanty, sekiranya haiwan itu tidak ditangkap, penduduk kampung akan terus mengalami kerugian yang boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.
“Perhilitan Kelantan komited dalam memastikan keselamatan penduduk terutama yang membabitkan konflik hidupan liar.
“Kita juga juga berusaha untuk mengekang kerugian yang dialami penduduk sekitar melalui kawalan dan langkah mitigasi konflik ini,” katanya.
Beliau berkata, penduduk Kampung Air Papan diharap dapat mengekalkan tanaman di kebun dengan kemas, bersih dan berpagar mengelakkan gangguan haiwan liar.
Tambahnya, kerja-kerja pemindahan gajah liar yang ditangkap itu akan dilakukan esok. – K! ONLINE