LIVERPOOL – Pengurus Everton, Carlo Ancelotti mengakui sedikit lega apabila cuti rehat untuk aksi antarabangsa selepas ini memberi ruangnya untuknya mengembalikan prestasi pasukan itu.
Pada aksi kelmarin, Everton mencatat kekalahan ketiga berturut-turut apabila tewas kepada Manchester United, 3-1 di Goodison Park sekali gus menyaksikan mereka sekadar mengutip satu mata daripada empat perlawanan terakhir.
Menurut Ancelotti, kekalahan pasukannya itu adalah disebabkan pemain gagal mempamerkan aksi bertahan dengan baik, namun enggan meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada barisan pemain bentengnya.
“Masalahnya adalah selepas kami berjaya menjaringkan gol kemudian kami gagal bertahan dengan baik dan mereka (United) berjaya mengesan situasi yang kami hadapi itu.
“Mereka berjaya menjaringkan gol dengan mudah. Kami bercakap sebelum perlawanan bahawa kami perlu bertahan dengan baik tetapi gagal melakukannya. Kami terlalu perlahan ketika mengekang asakan United dan ia perlu diperbaiki,” katanya.
Tambahnya, beliau berharap para pemain yang kembali daripada tugasan antarabangsa mampu menukar cara berfikir dan mampu mempamerkan aksi yang lebih baik.
“Kami akan memberi penekanan terhadap aspek bertahan selepas semua pemain kembali menyertai pasukan. Saya mahu melihat Everton seperti awal musim lalu.
“Kami kini terlalu longgar. Kami memberikan mereka peluang untuk bermain di kawasan hadapan gol dan gagal untuk membuat kawalan pemain ketika mereka berada dalam kotak penalti. Ini adalah kesilapan yang dilakukan secara kolektif oleh pemain,” ujarnya. – AGENSI