JAKARTA – Tiga jemaah umrah Indonesia disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian swab di sebuah hotel di Mekah, menurut Persatuan Pengurusan Haji dan Umrah Indonesia (Amphuri).
“Keputusan ujian saringan Covid-19 jemaah lain ialah negatif kecuali mereka bertiga itu,” lapor portal Kompas yang memetik Ketua Bahagian Umrah Amphuri, Zaky Anshary sebagai berkata pada Khamis lalu.
Jemaah positif virus itu sudah diarahkan menjalani proses kuarantin selama tujuh hari selari dengan polisi Kementerian Kesihatan Arab Saudi bagi jemaah yang dijangkiti wabak koronavirus.
Jemaah Indonesia lain yang memperoleh keputusan negatif ujian swab dibenarkan untuk meneruskan umrah.
Laporan dari Amphuri mendapati seramai 224 jemaah umrah dari Indonesia berlepas ke Mekah dan berniat melakukan umrah atau miqat pada Rabu lalu.
Kesemua jemaah sudah menjalani ujian swab koronavirus sehari sebelum berlepas, dilakukan oleh pegawai kesihatan di hotel sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan).
Menurut Zaky, semua peserta program umrah Indonesia diwajibkan untuk mengisi borang akuan kesihatan.
Pada minggu lalu, kerajaan Arab Saudi mengumumkan pembukaan semula Kota Mekah bermula 1 November 2020 bagi umat Islam untuk menunaikan umrah.
Riyadh melonggarkan perintah berkurung selepas menutup sempadan dan ketibaan jemaah asing sejak Mac lalu disebabkan wabak koronavirus.
Berikutan keputusan Arab Saudi, ratusan jemaah Indonesia berlepas untuk menunaikan umrah sejak Ahad minggu lalu.
Zaky berkata, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan jemaah dari Indonesia dan Pakistan memasuki negara itu buat sementara waktu.– Agensi