fbpx

Skim sewa untuk beli bantu golongan berpendapatan menengah miliki PR1MA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) percaya skim sewa untuk beli atau ‘rent to own’ (RTO) yang diumumkan pada Belanjawan 2021 baru-baru ini dapat membantu rakyat Malaysia memiliki rumah mampu milik.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan semula RTO yang diilhamkan oleh KPKT sejak 2018 bagi membantu rakyat Malaysia berpendapatan pertengahan memiliki rumah mampu milik.

“Saya percaya bahawa skim ini akan menjadi pemangkin dalam meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan berpendapatan pertengahan.

“Nilai keseluruhan melebihi RM1 bilion dikhaskan untuk pembeli rumah pertama bagi unit-unit kediaman Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menerusi skim berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida berkata, bagi memenuhi mandat KPKT untuk menyediakan rumah mampu milik buat rakyat Malaysia yang berpendapatan pertengahan, PR1MA telah melalui proses transformasi untuk mengkaji dan mengubah model perniagaannya.

Beliau berkata, langkah ini adalah sebahagian daripada strategi PR1MA bagi memastikan ia kekal memacu agenda perumahan nasional.

Menurutnya, langkah ini membolehkan PR1MA meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan kewangannya dengan lebih berkesan.

“Setakat 31 Oktober 2020, 62 projek PR1MA merangkumi 52,763 unit di seluruh negara telah diluluskan.

“Daripada jumlah ini, 19,987 unit telah disiapkan, 25,356 unit sedang dalam pembinaan dan 7,420 sedang dalam perancangan,” katanya.

Selain itu, katanya, lebih daripada 26,000 unit telah terjual setakat ini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, kementeriannya akan mengumumkan butiran lanjut mengenai skim RTO selepas mengadakan perbincangan dengan institusi kewangan yang berkenaan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI