HULU TERENGGANU – Ratusan kampit simen bertaburan atas lebuh raya setelah lori treler membawa muatan bahan binaan tersebut terbabas di Kilometer 381.6 Leburaya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi itu, pemandu lori treler tersebut, Mohamad Ikram Hafizy Mukhtar, 25, mengalami kecederaan ringan pada bahagian dahi dan lengan manakala kelindannya , Adek Hajar Abu Bakar, 44, pula cedera ringan pada bahagian dahi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd. Adli Mat Daud berkata,
sewaktu kejadian, lori treler yang sarat muatan simen itu sedang menghala ke Ajil di sini dari Kuantan Pahang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori treler itu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh besi pembahagi jalan.
“Rempuhan itu menyebabkan lori treler itu terjatuh ke dalam parit di tepi jalan manakala sebahagian besar muatan simennya jatuh bertaburan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, keadaan permukaan lebuh raya dipercayai agak licin sewaktu kejadian ekoran hujan renyai.- K! ONLINE