PARIS – Pemimpin dunia segera mengucapkan tahniah kepada Joe Biden, Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dipilih dengan ramai menyatakan harapan untuk bekerjasama dan bersatu selepas empat tahun berdepan senario diplomasi luar biasa Donald Trump.
Pada ketika Trump masih enggan menerima keputusan Pilihan Raya Presiden AS 2020, ramai pemimpin dunia menyatakan secara jelas bahawa mereka menyokong pengumuman bahawa Biden dan Kamala Harris sudah menang.
Jerman
“Tahniah! Saya doakan kejayaan dan tuah ikhlas dari hati,” kata Canselor Angela Merkel.
“Persahabatan transatlantik kami sukar diganti jika kita mahu mengatasi cabaran hebat pada masa ini,” katanya menerusi Twitter yang disiarkan oleh seorang jurucakap kerajaan.
Perancis
Presiden Emmanuel Macron melalui Twitter: “Rakyat Amerika sudah memilih Presiden mereka. Tahniah @JoeBiden dan @KamalaHarris! Kami ada banyak perkara untuk dilakukan secara bersama bagi mengatasi cabaran ketika ini. Mari kita bekerjasama!”
Britain
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengucapkan tahniah kepada Biden ‘atas kejayaan pemilihan sebagai Presiden AS dan Kamala Harris atas kejayaan bersejarah’.
“AS adalah sekutu paling penting kami dan saya tidak bersabar untuk bekerjasama erat berhubung perkongsian kepentingan kita daripada perubahan iklim, dagangan kepada keselamatan.”
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)
Ketua NATO, Jens Stoltenberg menggambarkan Biden sebagai ‘penyokong kuat perikatan kami’.
Stoltenberg dalam ciapan Twitter berkata, beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan Biden.
“Sebuah NATO yang kuat adalah baik untuk Amerika Utara dan Eropah,” katanya.
Kanada
Perdana Menteri Justin Trudeau berkata: “Saya akan bekerjasama dengan Presiden dipilih Biden, Naib Presiden dipilih Harris, pentadbiran mereka dan Kongres AS pada ketika kami menangani cabaran dunia secara bersama-sama.”
Australia
Perdana Menteri Scott Morrison mengucapkan ‘semua kejayaan’ buat Biden dan Harris.
“Kerjasama Australia-AS amat mendalam dan dibina berdasarkan nilai-nilai dikongsi bersama. Saya tidak sabar untuk bekerjasama erat dengan kamu pada ketika kita berdepan pelbagai cabaran dunia,” katanya di Twitter.
Ireland
Perdana Menteri Micheal Martin adalah antara pemimpin awal membuat ucapan di Twitter:
“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Presiden AS baharu dipilih @JoeBiden. Joe Biden sebenarnya seorang rakan sejati kepada negara ini sepanjang hayatnya dan saya bersedia bekerjasama dengan beliau untuk tahun-tahun akan datang.
“Saya juga mahu mengalu-alukannya kembali melawat sebaik sahaja keadaan semasa (pandemik) ini kembali sedia kala!”
Greece
Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis berkongsi di Twitter:
“Tahniah Presiden AS yang dipilih @JoeBiden. Joe Biden ialah kawan sejati Greece dan saya yakin di bawah pentadbirannya dan hubungan semasa dua negara akan bertambah kukuh.”
Itali
Perdana Menteri Giuseppe Conte melalui Twitter:
Kami sedia bekerjasama dengan Presiden yang dipilih @JoeBiden untuk menjadikan hubungan transatlantik lebih kukuh. AS boleh bergantung harap dengan Itali sebagai sekutu kuat dan rakan strategik.
Sepanyol
Perdana Menteri Pedro Sanchez melalui Twitter:
“Tahniah @JoeBiden dan @KamalaHarris. Kami doakan kamu yang terbaik. Kami juga mahu menjalin kerjasama dengan kamu untuk menangani cabaran yang bakal ditempuh.”