MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menggesa skuad kendaliannya untuk ‘mengganas’ pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Liverpool di Stadium Etihad awal pagi esok.
Katanya, jika The Citizens mampu melakar kemenangan pada perlawanan esok, mereka akan merapatkan jurang dengan Liverpool menerusi perbezaan dua mata.
Justeru, beliau berharap barisan pemainnya sedia berkorban untuk pasukan bagi memastikan City kembali ke prestasi sebenar selepas memulakan saingan musim ini dengan longlai.
“Apabila anda bertemu pasukan seperti Liverpool, adakalanya anda perlu ‘menderita’ demi mendapatkan kemenangan. Kami akan cuba lakukan yang terbaik bagi memastikan tiga mata.
“Kami sudah bertemu banyak kali sebelum ini, namun setiap perlawanan adalah berbeza. Kami perlu bijak menggunakan peluang terhidang serta lebih tajam di depan gol,” ujar Guardiola.
Pada masa sama, beliau juga mengesahkan penyerang Argentina, Sergio Aguero tidak akan diturunkan pada perlawanan itu meskipun keadaannya sudah semakin baik.
“Dia belum bersedia untuk diturunkan kerana tidak cergas sepenuhnya. Perlawanan ini sangat penting tetapi ia bukanlah aksi penentu bagi perebutan takhta kejuaraan,” tegas beliau. – AGENSI