IPOH – Mencari kelainan untuk menikmati hidangan makan malam dalam suasana tradisional eksklusif, warga bandar raya di sini dipelawa berkunjung ke Labu Sayong Signature@Meru.
Sajian enak berupa set makan malam Sayong Signature yang berkonsepkan masakan tradisional Melayu dan fusion itu pastinya bakal memenuhi selera serta ‘mesra poket’ pelanggan.
Pengurus Jualan dan Pemasaran PCB Leisure, Nursyafiqah Zamri berkata, antara hidangan popular di restoran berkenaan adalah ayam tepet cili berapi, daging salai masak lemak, filet ikan masak masam manis dan sayur campur goreng udang geragau.
“Set hidangan untuk dua orang ini akan disertakan bersama air sirap selasih manakala bagi pencuci mulut pula disajikan sago gula Melaka,” katanya ketika ditemui di restoran berkenaan di sini baru-baru ini.
Restoran berkenaan terletak berdekatan dengan bulatan Amanjaya di Bandar Meru Raya dekat sini dan ia dibina mengikut reka bentuk Rumah Kutai iaitu salah satu rekaan rumah tradisional Melayu Perak pada awal tahun 1900.
Keunikan rumah tradisional ini sentiasa menarik perhatian orang ramai yang melalui bulatan tersebut dan mereka pasti terpegun tatkala melihat persekitaran rumah tradisional itu yang bermandikan limpahan cahaya lampu pada waktu malam.
Mengulas lanjut mengenai menu yang ditawarkan, Nursyafiqah menjelaskan, syarikat menawarkan lebih daripada 20 sajian ala carte termasuk makanan Barat bermula pada harga RM7.50 hingga RM15 sahaja.
“Ramai yang menganggap Labu Sayong Signature@Meru adalah restoran mewah tetapi sebenarnya tidak, malah kami menawarkan suasana makan malam yang tiada di premis lain,” katanya.
Labu Sayong Signature@Meru yang dahulunya dikenali sebagai Restoran Labu Sayong adalah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak yang dikendalikan anak syarikatnya, PCB Leisure Sdn. Bhd. (PCB Leisure).
PCB Leisure turut bertanggungjawab mengurus rangkaian Hotel Casuarina.